Thursday 3 November 2011

KUASA TEKNOLOGI KOMUNIKASI


Teknologi komunikasi seperti internet dan SMS sememangnya merupakan alat yang sangat penting dalam sesebuah masyarakat. Ia bukan sahaja berkuasa untuk membangunkan sesebuah masyarakat tetapi juga memajukan lagi negara. Tanpa teknologi komunikasi, sudah pastinya masyarakat di sesebuah negara akan ketinggalan dan mundur. Apabila memperkatakan tentang teknologi komunikasi, kita tidak memisahkannya dengan sistem-sistem yang wujud dalam masyarakat seperti politik dan ekonomi kerana ia saling berkaitan. Teknologi komunikasi atau secara spesifiknya internet dilihat mempunyai peranan yang sangat penting dalam sistem-sistem masyarakat. Namun persoalanya adakah benar sistem teknologi komunikasi ini dapat mengubah sistem-sistem dalam masyarakat ataupun sistem politik itu sendiri yang berkuasa dalam menentukan penggunaan teknologi komunikasi?

Dari sudut positif, perkembangan sistem teknologi komunikasi ini dapat mengubah struktur masyarakat terutama dalam politik, ekonomi dan sosial sama ada secara lansung atau tidak langsung. Contohnya; penggunaan internet dan sms yang dapat berfungsi sepenuhnya dalam memberi maklumat secara tepat, cepat dan mudah diakses. Kewujudan teknologi komunikasi ini juga dapat dimanfaatkan oleh setiap individu dalam menjalani tanggungjawab sosial mereka atau sebagai keperluan dalam kehidupan mereka. Dikatakan bahawa internet adalah salah satu penyebab utama kekalahan BN kepada PR di lima buah negeri pada pilihanraya yang lalu. Ini kerana internet telah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh orang ramai dan pihak pembangkang dalam menyebarkan propaganda dan mendedahkan kelemahan BN. Semua ini mempengaruhi rakyat dalam pengundian. Hal ini telah membuktikan betapa kuatnya penggunaan teknologi komunikasi ini dalam sistem politik negara yang dapat mempengaruhi sesetengah masyarakat.

Selain itu, kuasa teknologi komunikasi ini juga dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk menyuarakan pendapat dan berdebat tentang isu yang dibangkitkan dalam politik Negara. Hal ini dapat mempraktikkan kesedaran dan wujud pelbagai pendapat yang dapat memuaskan masyarakat itu sendiri dalam proses demokrasi. Namun, sekiranya kewujudan sistem teknologi ini mampu menjadi sumber kepada masyarakat, tetapi adakah ia mampu mengubah masyarakat atau sistem politik itu ataupun sistem politik itu yang telah mengubah penggunaan teknologi ini sepenuhnya. Oleh itu, seperti yang kita sedia maklum, walaupun wujud debat mengenai isu politik dalam sistem teknologi, namun terbuktikah keberkesanannya dalam mengubah struktur politik negara. Untuk setakat ini, jawapan pastinya adalah TIDAK. Ini kerana walaupun pelbagai maklumat dikemukakan menerusi teknologi komunikasi ini, namun pihak kerajaan tidak pernah mempertimbangkan apa yang diperdebatkan oleh masyarakat menerusi internet. Semua kandungan internet yang mengkritik kerajaan dianggap sebagai fitnah dan tidak boleh dipercayai serta suara minoriti. Dalam masa yang sama, kerajaan cuba menyekat kebebasan internet dengan mencabul undang-undang ketiadaan penapisan internet. Hari ini, jikalau ada pihak yang memperkatakan tentang isu yang dianggap fitnah dan boleh mengancam keselamatan negara akan ditahan di bawah pelbagai undang-undang termasuklah Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Hasutan dan lain-lain. Kerajaan juga dilihat cuba untuk menyekat akses kepada laman web, blog, forum yang dilihat boleh menggugat kedudukan mereka. Contohnya; apa yang berlaku kepada Malaysia Today yang disekat akses seketika sebelum ditarikbalik kerana pelbagai pihak yang mengatakannya sebagai melanggar undang-undang ketiadaan penapisan internet. Walaupun ditarikbalik, tetapi pengoperasian blog tersebut dibataskan oleh undang-undang sehinggalah perkembangan terbaru dimana pengendalinya iaitu Raja Petra Raja Kamarudin yang ditahan selama dua tahun di bawah ISA. Ini jelas menunjukkan bahawa kuasa politik iaitu dalam hal ini pihak kerajaan lebih berkuasa menentukan penggunaan teknologi komunikasi. Bukan sebaliknya.

Manakala dalam konteks pembangunan masyarakat, ramai yang mempertikaikan sesuatu polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan. Misalnya isu kenaikan harga minyak dimana ramai pihak tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan yang menaikkan harga minyak dengan sesuka hati. Isu ini diperdebatkan menerusi internet oleh orang ramai yang menyuarakan ketidakpuashatian masing-masing serta ada yang mencadangkan alternatif yang boleh diambil oleh pihak kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat. Adakah pihak kerajaan meneliti dan mempertimbangkan segara suara rakyat itu? Jawapannya adalah TIDAK. Kerajaan tidak pernah mempedulikan suara rakyat dalam pentadbiran mereka. Rakyat terus dibelakangkan seolah-olah negara ini adalah milik mereka.

Hal yang sama berlaku dalam isu ekonomi, pendidikan dan lain-lain kerana apa yang dibincangkan oleh rakyat menerusi teknologi komunikasi hanya sekadar perbincangan kosong tidak dimanfaatkan kerana pihak kerajaan ingin mengekalkan polisi yang sedia ada.

Hakikatnya, teknologi komunikasi walaupun mempunyai peranan yang besar kepada masyarakat keseluruhannya, namun kuasanya masih lagi terhad dalam mengubah sistem dalam masyarakat yang jelas didominasi dan dikuasai oleh kerajaan. Sebaliknya, teknologi komunikasi itu sendiri yang terus berada dalam genggaman pemerintah dengan pelbagai undang-undang yang membataskan kebebasan teknologi komunikasi. Sampai bilakah keadaan ini akan berterusan? Ia akan berterusan sampai bila-bila seandainya kerajaan terus mengekalkan dasar dan prisip pentadbiran yang jelas melanggar dan mencabul demokrasi.

No comments:

Post a Comment